Skip to main content

1 Malaysia 1 Sukan

PENGENALAN
Dasar  Satu  Murid  Satu  Sukan  (1M  1S)  mewajibkan  setiap  murid  menyertai  sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dasar  ini  selaras  dengan  Dasar  Sukan  Negara  yang  memberi  penekanan  kepada  Sukan  Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Dasar ini memberi perhatian yang utama kepada murid yang  kurang  aktif  supaya  mereka  melibatkan  diri  dalam  aktiviti  sukan.  Pada  masa  yang  sama, bakat murid yang berpotensi akan digilap dan dibangunkan melalui Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS).

Bidang  sukan  sangat  penting  dalam  mengoptimumkan  keupayaan  fizikal  murid  selaras  dengan  ungkapan “Minda Yang  Cerdas Terletak  Pada Tubuh Yang  Sihat”.  Dalam  konteks  ini,  bidang  sukan  memainkan peranan yang penting bagi melahirkan modal insan yang sihat, cergas dan produktif agar dapat memberi sumbangan kepada kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negara. Justeru, pelbagai aktiviti sukan diperkenalkan bagi menarik minat murid-murid agar mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

Kementerian  Pelajaran  Malaysia  (KPM)  melaksanakan  Dasar  1M  1S  agar  setiap  murid  menikmati manfaat bersukan dengan harapan dapat membentuk generasi yang membudayakan sukan seiring dengan keperluan akademik.


RASIONAL
Dasar 1M 1S mendokong Dasar Sukan Untuk Semua, di mana dasar ini menitikberatkan penglibatan semua murid dalam pelbagai aktiviti dan peringkat sukan. Dasar ini dibentuk atas rasional segala kegiatan  sukan  adalah  sebahagian  daripada  transformasi  pendidikan  yang  diusahakan  oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Sukan seharusnya mendapat pengiktirafan, sokongan dan galakan yang sama sebagaimana juga yang diberikan kepada aspek-aspek yang lain seperti mata pelajaran akademik dan kegiatan kokurikulum supaya dapat melahirkan murid yang seimbang dari segi kesejahteraan minda dan jasmani.

Dasar  ini  juga  menyumbang  kepada  penggalakan  pertandingan  yang  sihat,  semangat  muhibah, kesefahaman,  toleransi  dan  meningkatkan  nilai  moral  dan  fizikal  yang  memberi  satu  landasan yang  betul  dalam  mengintegrasikan  pelbagai  kumpulan  etnik  kepada  satu  bangsa  yang  bersatu padu serta memupuk semangat cintakan negara.

Dasar  1M  1S  dapat  memberi  peluang  secara  menyeluruh  kepada  semua  murid  melibatkan  diri dalam  sukan  secara  lebih  terurus  dan  terancang  serta  mengimbangkan  fokus  atau  penekanan dalam  melahirkan  modal  insan  secara  holistik  ke  arah  pembinaan  masyarakat  Malaysia  yang berdaya saing tinggi.

MATLAMAT
Dalam jangka masa panjang, dasar ini berhasrat membangunkan modal insan melalui penyertaan yang  menyeluruh  dari  kalangan  murid  dalam  kegiatan  sukan  sepanjang  tahun  serta  memupuk budaya  bersukan  di  kalangan  murid  sekolah  agar  menjadi  ahli  masyarakat  yang  mengamalkan gaya hidup sihat, cergas dan berdaya saing tinggi.

KONSEP
Dasar 1M 1S adalah program pembangunan sukan di sekolah yang mewajibkan setiap murid dari Tahap 2 di sekolah rendah hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah mengikuti sekurang-kurangnya satu  aktiviti  sukan  yang  dikendalikan  secara  terancang  dan  sistematik.  Dasar  1M  1S  adalah berteraskan  kepada  prinsip-prinsip  asas  perkembangan  fizikal  murid-murid.  Justeru  itu,  Dasar 1M 1S adalah diwujudkan untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar;

4.1   Memberi akses kepada semua murid untuk mendapatkan faedah dari penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif;
4.2   Membangunkan  sukan  sekolah  ke  arah  meningkatkan  kadar  penyertaan  murid  dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah;
4.3   Memberi  peluang  kepada  semua  murid  yang  berbakat  dan  berpotensi  untuk  digilap  ke tahap yang lebih tinggi;

PRINSIP PELAKSANAAN
Pelaksanaan Dasar 1M 1S hendaklah mengambil kira prinsip pelaksanaan berikut:

5.1 Setiap   murid   termasuk   murid   berkeperluan   khas   yang   tidak   mengalami   masalah kesihatan  hendaklah  wajib  mengambil  bahagian  dalam  sekurang-kurangnya  satu  jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk murid Tahun 4 hingga Tahun 6 di  sekolah rendah serta Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini   berdasarkan   kemampuan   sekolah   (SPI   Bil.16/2010   bertarikh   1/12/2010).
5.2 Murid  boleh  menyertai  lebih  dari  satu  sukan  mengikut  kemampuan  dan  sukan  yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan oleh pihak lain dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah.
5.3 Asas kepada 1M 1S adalah pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang  berkualiti  di  sekolah.  Segala  sumber  untuk  mata  pelajaran  Pendidikan  Jasmani hendaklah diguna sama bagi program 1M 1S.
5.4 Aspek yang diutamakan adalah penyertaan aktif oleh semua murid dalam aktiviti sukan.
5.5 Penyertaan dalam sukan adalah asas kepada perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi murid.
5.6 Ibu bapa dan agensi luar / rakan sukan adalah digalakkan untuk menyumbang kepada pembangunan sukan sekolah.
5.7 Setiap sekolah yang sudah pun mempunyai prasarana, kemudahan dan peralatan sukan hendaklah mengoptimumkan penggunaannya bagi meningkatkan lagi penyertaan aktif setiap murid.
5.8 Pihak    sekolah    hendaklah    sentiasa    mengutamakan    keselamatan    murid    semasa menjalankan aktiviti sukan di sekolah dan di luar sekolah. Segala prosedur dan langkah-langkah keselamatan hendaklah dipatuhi bagi mengelakkan sebarang kemalangan.

OBJEKTIF
Dasar 1M 1S menggariskan objektif jangka panjang dan jangka pendek seperti berikut:

6.1 Meningkatkan kecergasan jasmani;
6.2 Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni;
6.3 Memupuk perpaduan di antara kaum;
6.4 Membentuk budaya sukan di kalangan murid;
6.5 Memenuhi naluri semulajadi murid agar aktif dari segi fizikal;
6.6 Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal; dan
6.7 Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.